Monday, August 15, 2011

Ogos 16, 2001

Kurang tiga jam Teja akan memasuki club 30...huhuhu..pada tarikh 16 Ogos 1981, lahirlah anak sulung perempuan pasangan Hajah Ropiah Mat Nor dan En. Abd. Rahman di Hospital Besar Kuala Lumpur. Mak mengalami komplikasi akibat darah tinggi sebab itu Teja dilahirkan di HBKL (Hospital Bersalin Kuala Lumpur ketika itu). Banyak peristiwanya masa tu, mak dan ayah datang dari kampung, tiada saudara mara untuk menumpang, jadi ayah terpaksa bermalam di pangkin luar hospital sementara menanti emak. Emak pula selepas melahirkan aku, pengsan tidak sedarkan diri. Ya Allah, besar jasa mereka padaku, tidak terbalas olehku walaupun aku mampu menghadiahkan dunia dan seisinya kepada mereka.

Dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun menjalani kehidupan yang biasa-biasa, kami tetap gembira, dilengkapi pula dengan dua adik lelaki. Kehidupan kami sempurna. Hmmm...sudah 3o tahun peristiwa itu berlalu bermakna sudah 30 tahun juga aku berkelana di dunia yang fana ini, meminjam umur daripada Tuhan, menghirup udara percuma dan sentiasa berjanji untuk berbakti di jalan-Nya dan acapkali itu juga janji tadi dimungkiri.

30 tahun, bukanlah satu waktu yang pendek. suka duka, kepayahan, pengorbanan sejak kecil sehingga sekarang menjadikan aku sepertinya ini. Luaran yang nampak keras bagaikan karang di lautan tetapi memiliki hati sangat lembut dan mudah terguris. Segala kepahitan itu ku tanggung sendiri. Bukan menghadapi kehidupan, apatah lagi jika menyandang gelaran anak sulung, segala tanggung jawab terbeban di pundak ini. Maruah dan nama baik keluarga wajib dipertahankan, apatah lagi anasir-anasir itu datang dari sekeliling juga.

Kadang kala aku penat, kadang kala aku juga meminta pada Yang Maha Pemberi, berilah aku satu lagi bahu untuk ku bersandar, untuk kongsikan bersama segala beban dan masalah ini, untuk aku jadikan penenang di saat hatiku berkeluh-kesah, di saat tubuhku tak daya lagi menahan ujian-Nya. Namun, DIA lagi Mengetahui. Masa ku belum tiba. Mungkin DIA tahu, bahawa aku masih belum cukup kuat untuk mencintai manusia lain tanpa mengurangkan walaupun setitik kasihku pada-Nya. Biarlah, aku redha kerana DIA Yang Maha Arif.

Dalam meniti ranjau kehidupan, aku masih bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat penyayang dan memahami. Tanpa mereka, mungkin aku tidak berada di sini. Mungkin aku sudah hanyut dengan kehidupan dunia yang kotor. Sesungguhnya, aku bersyukur dengan anugerah ini.

Semoga usia ku ke-30 ini dirahmati Allah, semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk terus berbakti dan melindungi keluargaku dengan apa jua cara yang diredhai Allah. Semoga angka 30 ini adalah pembuka pintu kepada semua rahmat, rezeki dan kebahagiaan kepada aku, keluarga dan orang-orang yang bersama-sama di dalam perjuangan ini. Semoga aku terus matang dan menjadi orang sabar demi meraih manisnya iman. Amin...