Monday, December 12, 2011

Bicara syukur

Hari nie dapat surat pelarasan gaji dan back dated increament. Alhamdulillah. Walaupun tak banyak seperti rakan-rakan lain, tetapi sebagai seorang yang pernah merasai kesusahan hidup, mendaki satu persatu tanggan kerjaya, pengertian khabar gembira ini adalah sangat bernilai berbanding amaunnya.

Sejak mula bekerja sebagai wartawan dgn kontrak piecemeal di RTM bermula April 2005, diberi gaji hari RM70 sehari tanpa potngan KWSP selama setahun, kemudian dinaikkan kepada kontrak AB dengan gaji RM80 sehari, Teja tidak pernah bermimpi untuk merasa durian runtuh. Syukur, jika masih menerima gaji setiap bulan untuk membayar sewa bilik dan ansuran kereta, dan paling penting tidak menyusahkan mak dan ayah. Itu yang paling utama. Berhenti kerja di RTM pada November 2007, dan kemudiannya bekerja sales executive di Leaders Holiday dan Bernama TV, apalah yang diharap pada syarikat-syarikat yang terumbang-ambing.

Betapa aku bersyukur, pilihan Tuhan Yang Maha Arif, lewat istikharah yang lalu, sebelum aku membuat keputusan menerima tawaran Utusan Malaysia sedikit demi sedikit menampakkan hasil. Berkat kepercayaan penuh pada pilihan-Nya, inilah yang kurasai. Walaupun perjalanan kurang dua tahun ini bukan mudah, bukan setitis air mata jatuh, bukan sedikit senyuman palsu menyembunyikan kesedihan dilemparkan sepanjang tempoh itu. Malah aku percaya, air mata ini tetap akan gugur, senyuman palsu tetap akan terukir di hari-hari mendatang. Tetapi biarlah! Apalah ertinya hidup jika tiada dugaan. Apalah ertinya kegembiraan jika tidak pernah merasa sedih. Bagaimana mahu bangkit melawan, jika tidak pernah jatuh tersungkur? Doaku hanyalah satu, biar apa pun mehnah menerjang, biarlah kepercayaan ku pada Ilahi tetap bulat!

Akhir-akhir ini panggilan Kaabah bagaikan terlalu kuat. Bagaikan sepasang kekasih yang sudah lama tidak berjumpa. Setiap masa aku berdoa, agar dijemput Allah sebagai tetamu-Nya, untuk aku si pendosa ini melepaskan rindu pada kekasih-Nya. Benar, Allah itu di hati, Allah itu di dalam diri, lebih dekat dari urat merih sendiri, tetapi hati ini meronta-meronta untuk menjejaki Tanah Suci itu. Ingin sekali menikmati udara dari tanah kelahiran anbia'. Untuk melihat mengelilingi Baitullah, bersolat di sekitarnya, berzikir dan bertahmid untuk-Nya.

Aku tahu, aku ini pendosa tidak layak untuk syurga-Nya, tetapi aku juga punya hati, untuk mencintai si Maha Pencinta. Ya Allah, jadikan aku hambamu yang sentiasa beristiqamah di dalam ibadat dan petbuatan baik. Jemputlah aku sebagai tetamu-Mu. Amin

Insya-Allah, aku sedang berusaha mengumpul duit, membersihkan harta, menguruskan hutang supaya aku menjadi pilihan-Nya untuk menjadi tetamu Allah. Insya Allah, aku mahu berpuasa di Mekah, satu hari nanti, sambil menyempurnakan impian bonda yang menjejakkan kaki ke sana sekali lagi, tetapi kali ini pada Ramadhan Al-Mubarak.

Ya Allah, makbulkan permintaan ku ini. Aku mahu bersolat, mengabdikan diri di tanah suci mu, mahu mencium batu syurga itu dan menyempurnakan setiap rukun ibadat. Ya Allah, mohon diperkenankan doaku ini, wahai Tuhan yang maha memakbulkan permintaan dan tidak pernah memungkiri janji. Amin.....

Monday, August 15, 2011

Ogos 16, 2001

Kurang tiga jam Teja akan memasuki club 30...huhuhu..pada tarikh 16 Ogos 1981, lahirlah anak sulung perempuan pasangan Hajah Ropiah Mat Nor dan En. Abd. Rahman di Hospital Besar Kuala Lumpur. Mak mengalami komplikasi akibat darah tinggi sebab itu Teja dilahirkan di HBKL (Hospital Bersalin Kuala Lumpur ketika itu). Banyak peristiwanya masa tu, mak dan ayah datang dari kampung, tiada saudara mara untuk menumpang, jadi ayah terpaksa bermalam di pangkin luar hospital sementara menanti emak. Emak pula selepas melahirkan aku, pengsan tidak sedarkan diri. Ya Allah, besar jasa mereka padaku, tidak terbalas olehku walaupun aku mampu menghadiahkan dunia dan seisinya kepada mereka.

Dibesarkan dengan penuh kasih sayang walaupun menjalani kehidupan yang biasa-biasa, kami tetap gembira, dilengkapi pula dengan dua adik lelaki. Kehidupan kami sempurna. Hmmm...sudah 3o tahun peristiwa itu berlalu bermakna sudah 30 tahun juga aku berkelana di dunia yang fana ini, meminjam umur daripada Tuhan, menghirup udara percuma dan sentiasa berjanji untuk berbakti di jalan-Nya dan acapkali itu juga janji tadi dimungkiri.

30 tahun, bukanlah satu waktu yang pendek. suka duka, kepayahan, pengorbanan sejak kecil sehingga sekarang menjadikan aku sepertinya ini. Luaran yang nampak keras bagaikan karang di lautan tetapi memiliki hati sangat lembut dan mudah terguris. Segala kepahitan itu ku tanggung sendiri. Bukan menghadapi kehidupan, apatah lagi jika menyandang gelaran anak sulung, segala tanggung jawab terbeban di pundak ini. Maruah dan nama baik keluarga wajib dipertahankan, apatah lagi anasir-anasir itu datang dari sekeliling juga.

Kadang kala aku penat, kadang kala aku juga meminta pada Yang Maha Pemberi, berilah aku satu lagi bahu untuk ku bersandar, untuk kongsikan bersama segala beban dan masalah ini, untuk aku jadikan penenang di saat hatiku berkeluh-kesah, di saat tubuhku tak daya lagi menahan ujian-Nya. Namun, DIA lagi Mengetahui. Masa ku belum tiba. Mungkin DIA tahu, bahawa aku masih belum cukup kuat untuk mencintai manusia lain tanpa mengurangkan walaupun setitik kasihku pada-Nya. Biarlah, aku redha kerana DIA Yang Maha Arif.

Dalam meniti ranjau kehidupan, aku masih bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sangat penyayang dan memahami. Tanpa mereka, mungkin aku tidak berada di sini. Mungkin aku sudah hanyut dengan kehidupan dunia yang kotor. Sesungguhnya, aku bersyukur dengan anugerah ini.

Semoga usia ku ke-30 ini dirahmati Allah, semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk terus berbakti dan melindungi keluargaku dengan apa jua cara yang diredhai Allah. Semoga angka 30 ini adalah pembuka pintu kepada semua rahmat, rezeki dan kebahagiaan kepada aku, keluarga dan orang-orang yang bersama-sama di dalam perjuangan ini. Semoga aku terus matang dan menjadi orang sabar demi meraih manisnya iman. Amin...