Tuesday, November 17, 2009

Tuhan, Ku pinta sedikit kekuatan

Tuhan,

Ku pinta sedikit kekuatan untuk aku meneruskan hidup ini. Untuk aku mengharung segala keperitan dan penderitaan ini. Bukan aku tidak redha di atas segala ujian-Mu, namun aku terlalu lemah untuk menghadapinya.

Sungguh, ujian ini amat sedikit dan tersangat ringan jika dibandingkan dengan apa yang kau beri pada hamba-Mu yang lain, dan teramat kecil jika dibanding dengan segala nikmat yang kau anugerahkan pada diriku. Namun apalah dayaku, iman ku terlalu nipis untuk terus menerimanya.

Tuhan,

Ku ucapkan segala puji kerana menganugerahkan rasa cinta ini, namun Ya Allah, lemahnya aku, kerana kadangkala terkeliru dan rasa dukacita dengan apa yang berlaku. Ya Allah, kau mengetahui apa yang tidak ku ketahui, Kau merancang dengan segala perancangan yang sempurna, Wahai Tuhan Yang Maha Arif, ku pohon dengan rendah hati, berikanlah ketabahan kepada ku untuk menjalani cinta ini.

Jika kau mentakdirkan dia bukan untukku, aku pohon belas ihsan Mu, angkatlah semula rasa cinta yang pernah Kau anugerahkan ini...Namun, jika ia sebaliknya, sekali lagi aku mohon pengertian-Mu, berilah aku kekuatan untuk mengharunginya.

Kau Yang Maha Mengetahui, bukan sedikit airmata ini tumpah kerana dia, dan bukan sedikit hati ini terluka kerana dia. Aku tidak mahu menjadi lemah kerana cinta, tidak jua aku mahu dihinakan kerana cinta. Ya Allah, berilah aku peluang untuk merasa bahagianya cinta sejati.
Didakap insan yang menyayangi ku ikhlas kerana-Mu, dibelai insan yang mencintaiku kerana-Mu dan dibimbing insan yang menerima aku seadanya aku kerana-Mu.

Tuhan Ku Yang Maha Penyayang, aku amat tidak tahu, apakah benar dia yang terbaik? apakah benar dia orangnya. Apa yang aku lakukan kini hanyalah menurut gerak hati ku. Ya Allah, bimbinglah aku mencari jalan yang benar, membuat keputusan yang tepat. Dia ataupun tidak, bukanlah persoalannya,namun maruah yang ku junjung ini tidak akan aku jadikan galang-ganti. Bukan sehari aku menyayanginya, hampir 10 tahun rasa itu bersemi. Tetapi, apakah aku memang ditakdir untuk merasai segala keperitan ini. Menanggung segala penderitaan ini,

Ya Allah, Ku pohon belas ihsan-Mu. Perkenaankan doaku.

Amin..

Tejaputri mohon mengundur diri..

No comments: